Nazdy Harun


Marang: Dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti kepada 12,500 kakitangannya.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pembekuan cuti bermula 7 November sehingga musim MTL yang mengakibatkan banjir berakhir.

Menurutnya, kesemua pegawai dan anggota di kesemua 332 balai bomba dan penyelamat (BBP) sudah mendapat arahan, selain 1,900 aset termasuk jentera dan kelengkapan menyelamat sudah bersedia untuk digunakan dalam banjir tahun ini.

"Kita (JBPM) sudah mengenal pasti lokasi-lokasi yang sering berlakunya kejadian banjir, dan kawasan yang terjejas akibat berlakunya air pasang di seluruh negara.

"Biasanya negeri-negeri di pantai Timur seawal November sudah mengalami kejadian banjir dan diikuti Sabah, Sarawak dan Johor sebelum diikuti negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kawad Kecekapan JBPM 2022 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga turut mengenal pasti kawasan hotspot lain yang dahulunya tidak berlaku kejadian banjir ekstrem, namun kini berlaku sebaliknya.

HAMDAN Wahid (empat kiri) menyampaikan hadiah pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kawat Kecekapan JBPM Tahun 2022. FOTO Nazdy Harun
HAMDAN Wahid (empat kiri) menyampaikan hadiah pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kawat Kecekapan JBPM Tahun 2022. FOTO Nazdy Harun

Katanya, pemantauan di kawasan cerun, lereng bukit, jeram dan kawasan rekreasi yang berisiko tinggi juga dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh membahayakan nyawa orang ramai.

"Persiapan tahun ini sudah dilakukan berbanding tahun lalu berdasarkan pengalaman banjir yang dihadapi pada tahun lalu bagi memperkemaskan lagi tahap kesiapsiagaan kami.

"Kami bukan saja berperanan sebagai penyelamat dengan memindahkan mangsa-mangsa banjir, malah sebagai agensi awal yang membawa bekalan makanan kepada mangsa yang terjejas akibat kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 12:45 PM