KHIRUDIN Drahman meneliti peralatan yang akan digunakan anggotanya bagi tugas menyelamat mangsa banjir. FOTO Mohd Roji Kawi
KHIRUDIN Drahman meneliti peralatan yang akan digunakan anggotanya bagi tugas menyelamat mangsa banjir. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak melengkapkan kenderaan dan bot penyelamat dengan pelitup muka serta cecair pencuci tangan bagi memindahkan penduduk jika banjir melanda negeri ini.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata, penyediaan alat perlindungan itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, setiap anggota penyelamat juga diarahkan supaya sentiasa memastikan jumlah penduduk yang dipindahkan pada satu-satu masa dihadkan dan mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang masa.

"Itu antara langkah yang kita harus laksanakan ketika membantu mangsa banjir dalam waktu yang sukar ini," katanya pada sidang media mengenai persediaan JBPM Sarawak bagi menghadapi banjir, hari ini.

Khirudin berkata, Sarawak dijangka mengalami banjir berikutan perubahan angin Monsun Timur Laut yang diramal bermula bulan ini hingga Mac tahun depan.

"Sebagai persediaan bagi menghadapi bencana alam itu, JBPM Sarawak kini menyediakan 16 lori, 67 kenderaan pacuan empat roda, 45 bot penyelamat dan sebuah helikopter yang mampu digerakkan pada bila-bila masa apabila berlaku bencana," katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan tugas itu, seramai 1,194 anggota bomba sepenuh masa kini diletakkan dalam keadaan siap siaga.

"Mereka akan dibantu oleh seramai 230 Pegawai Bomba Bantuan (PBB), 2,259 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS), 7,453 orang ahli Bomba Komuniti, 10,107 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) serta 820 peserta Summer Camp yang terlatih dalam tugas menyelamat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 4:33 PM