FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seramai 19,571 atau kira-kira 97 peratus daripada 20,174 kakitangan awam di Sabah sudah menerima vaksin Covid-19 setakat ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai berkata, jumlah itu berdasarkan rekod Sistem Maklumat Sumber Manusia (SM2) negeri yang direkodkan sehingga 10 Oktober lalu.

"Berdasarkan rekod dalam SM2, seramai 19,571 atau 97 peratus penjawat awam yang berkhidmat di seluruh negeri ini sudah menerima vaksin," katanya pada Majlis Penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Wanita, di sini, hari ini.

PPV Wisma Wanita yang beroperasi sejak 13 Jun lalu adalah antara PPV terawal yang dibuka di Kota Kinabalu dengan tumpuan utama memberi kemudahan kepada penjawat awam negeri dan persekutuan mendapatkan vaksin Covid-19.

Datu Rosmadi berkata, sehingga 10 Oktober lalu, PPV Wisma Wanita sudah memberikan 12,709 suntikan vaksin Covid-19 kepada penjawat awam negeri, khususnya yang bertugas di sekitar ibu negeri.

"Ia membabitkan seramai 6,757 penerima dos pertama dan seramai 5,455 orang penerima dos kedua," katanya.

Pencapaian PPV Wisma Wanita itu, katanya sedikit sebanyak membantu mempercepatkan proses vaksinasi bagi kawasan Kota Kinabalu sehingga mencapai kadar 92 peratus penduduk dewasa sudah divaksin setakat ini.

Katanya, sepanjang empat bulan beroperasi, PPV Wisma Wanita dikendalikan seramai 425 penjawat awam negeri dan persekutuan yang menawarkan diri sebagai petugas sepenuh masa, separuh masa atau sambilan.

Selain itu, katanya, operasi PPV berkenaan turut dibantu jururawat dan pakar perubatan yang sudah bersara tetapi tampil menjadi petugas secara sukarela.

Sementara itu, Datu Rosmadi berkata, kerajaan negeri akan menetapkan syarat pengambilan kakitangan awam baharu ke dalam perkhidmatan awam negeri dengan mewajibkan setiap calon melepasi tahap penilaian kesihatan diri dan sudah menerima vaksin Covid-19 lengkap.

Katanya, langkah itu selari dengan usaha kerajaan negeri bagi meningkatkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai untuk berurusan di bangunan kerajaan.

"Ia sekali gus dapat mengembalikan perkhidmatan awam negeri ke kapasiti maksimum berdasarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 4:18 PM