Aminuddin menyerahkan replika kunci van kepada wakil PBT Gemas di Wisma Negeri, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Aminuddin menyerahkan replika kunci van kepada wakil PBT Gemas di Wisma Negeri, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Langkah mengenakan tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib terhadap penjawat awam di Negeri Sembilan yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 dilihat berkesan.

Ini kerana daripada 36 individu yang enggan divaksin sebelum ini telah berkurangan kepada 27 orang setakat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya merasa sedikit lega dengan perkembangan itu dan berharap 27 individu terbabit dapat mengubah fikiran dengan bersetuju menerima suntikan vaksin.

"Alhamdulillah, bilangan penjawat awam yang enggan divaksin sudah berkurangan apabila seramai sembilan individu sudah menerima suntikan vaksin, awal minggu ini.

"Ketika ini masih terdapat seramai 27 lagi penjawat awam di negeri ini yang masih belum berbuat demikian dan kita mengalu-alukan perubahan sikap ini dan berharap mereka sedia untuk divaksin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO dan pelancaran kaunter cukai bergerak di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali meminta semua penjawat awam patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November lalu.

JPA menerusi kenyataan akhbar pada 30 Oktober lalu memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin menggesa pengusaha hotel di negeri itu mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), sebagai langkah meyakinkan orang ramai terutama umat Islam menggunakan perkhidmatan disediakan.

Beliau berkata, setakat ini hanya terdapat 15 hotel di negeri itu yang sudah mempunyai SPHM.

"Kita menggalakkan mereka (pengusaha hotel) mendapatkan sijil halal ini kerana ia boleh membantu meyakinkan orang ramai terhadap perkhidmatan disediakan.

"Bagaimanapun ia tidak bermakna tanpa sijil halal orang ramai tidak boleh menginap di hotel berkenaan.

"Namun, ada kebaikannya jika pengusaha hotel mempunyai sijil halal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 5:05 PM