Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 3.8 juta kenderaan dicatatkan melalui semua lebuh raya utama di Semenanjung Malaysia kelmarin, susulan kebenaran rentas negeri mulai Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, berdasarkan data direkodkan kelmarin, tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara Selatan merekodkan 1,075,408 kenderaan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (97,758) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) (34,041).

"Tinjauan trafik di tujuh plaza tol utama pada hari berkenaan juga mendapati berlaku peningkatan ketara jumlah kenderaan berbanding Rabu lalu.

"Plaza Tol Gombak menunjukkan peningkatan kenderaan paling mendadak sebanyak 108 peratus iaitu 57,719 berbanding 27,204 kenderaan pada Rabu minggu lalu (6 Oktober)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, Plaza Tol Jalan Duta menunjukkan peningkatan 27 peratus iaitu 54,733 kelmarin berbanding 43,138 kenderaan pada 6 Oktober lalu.

"Sementara itu, Plaza Tol Sungai Besi pula meningkat 30 peratus iaitu 35,881 berbanding 27,501 kenderaan, manakala Plaza Tol Skudai meningkat 13 peratus iaitu 18,336 berbanding 16,213 kenderaan.

"Di Plaza Tol Juru meningkat 27 peratus dengan 39,068 berbanding 30,668 kenderaan, manakala Plaza Tol Bentong menunjukkan peningkatan 52 peratus dengan 40,039 berbanding 26,415 kenderaan.

"Plaza Tol Karak pula merekod peningkatan 31 peratus iaitu 9,561 berbanding 7,278 kenderaan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat pengendali lebuh raya sentiasa memantau status pergerakan trafik dan memastikan pengguna mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di kemudahan disediakan sepanjang lebuh raya.

"JSPT juga bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi tujuan itu. Tindakan advokasi dan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada masyarakat serta pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 4:04 PM
ALIRAN trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya, kelmarin, satu daripada laluan utama pergerakan antara negeri di utara. Kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi  individu yang sudah lengkap vaksinasi bermula 11 Oktober lalu, selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai tahap 90 peratus. FOTO Danial Saad
ALIRAN trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya, kelmarin, satu daripada laluan utama pergerakan antara negeri di utara. Kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi individu yang sudah lengkap vaksinasi bermula 11 Oktober lalu, selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai tahap 90 peratus. FOTO Danial Saad