KEADAAN trafik di Plaza Tol Duta. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KEADAAN trafik di Plaza Tol Duta. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang: Pergerakan aliran trafik di beberapa laluan di sekitar lebuh raya utama mulai lancar berikutan jumlah kenderaan balik ke kampung sempena sambutan Aidilfitri berkurangan, petang tadi.

Wartawan Harian Metro bersama Pegawai Turus Latihan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Juliana Jamak dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan tinjauan udara dengan menaiki helikopter bermula 5 petang tadi.

Berdasarkan tinjauan dilakukan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Plaza Tol Gombak mendapati trafik mulai lancar di kedua-dua arah termasuk menghala ke timur.

Selain itu, aliran trafik juga lancar di Lebuhraya Utara Selatan dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Plaza Tol Seremban dan Plaza Tol Senawang.

Sementara itu, tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga jam 6 petang tadi melaporkan kemalangan di Kilometer (KM) 437 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang menyebabkan trafik perlahan.

Di lebuh raya sama arah selatan, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat; Skudai ke Senai Utara ke Sedenak dan Tambak Johor (sempadan Singapura-Malaysia).

LLM juga melaporkan kemalangan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan di KM 133.8 arah utara dari Juru ke Sungai Dua dengan kenderaan terbabit berada di lorong kecemasan dan mengakibatkan trafik perlahan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan beberapa lebuh raya utama sesak berikutan orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri bermula tengah malam tadi.

Ia susulan pengumuman bayaran tol percuma dan diskaun hingga 50 peratus oleh kerajaan bermula 12 tengah malam tadi hingga 11.59 malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 8:08 PM