Aliran trafik menunjukkan peningkatan bilangan kenderaan dari kedua-dua arah di Lebuhraya PLUS berhampiran susur keluar Plaza Tol Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Aliran trafik menunjukkan peningkatan bilangan kenderaan dari kedua-dua arah di Lebuhraya PLUS berhampiran susur keluar Plaza Tol Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Aliran trafik di semua lebuh raya utama negara mencatatkan 4.27 juta kenderaan semalam, berbanding 3.8 juta kenderaan pada kelmarin dan Rabu lalu.

Ia menunjukkan peningkatan lebih 400,000 kenderaan susulan kebenaran rentas negeri bermula Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aliran trafik semalam hampir sama trend aliran sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sebanyak 4.5 juta kenderaan sehari.

Menurutnya, mengikut data yang direkodkan hari sama, tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara Selatan merekodkan 1,221,304 kenderaan, Lebuhraya KL-Karak (143,024) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) (53,159).

Katanya, tinjauan trafik di tujuh plaza tol utama semalam juga mendapati berlaku peningkatan ketara jumlah kenderaan berbanding hari sama minggu sebelumnya (8 Oktober).

"Plaza Tol Gombak menunjukkan peningkatan kenderaan paling mendadak sebanyak 142 peratus iaitu 82,368 berbanding 34,081 kenderaan pada 8 Oktober.

"Plaza Tol Jalan Duta menunjukkan peningkatan 25 peratus iaitu 60,831 semalam berbanding 48,775 kenderaan pada 8 Oktober lalu, manakala Plaza Tol Sungai Besi meningkat 30 peratus iaitu 40,721 berbanding 31,231 kenderaan.

"Plaza Tol Skudai meningkat 41 peratus iaitu 20,578 berbanding 14,645 kenderaan dan Plaza Tol Juru meningkat 30 peratus dengan 44,616 berbanding 34,291 kenderaan.

"Plaza Tol Bentong turut menunjukkan peningkatan 85 peratus dengan 60,656 berbanding 32,814 kenderaan, manakala Plaza Tol Karak merekod peningkatan 62 peratus iaitu 14,751 berbanding 9,105 kenderaan sebelum ini," katanya, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, aliran trafik dikesan meningkat di jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran serta laluan ke timur, namun ia masih lancar dan tiada kesesakan luar biasa dilaporkan.

Katanya, polis kontinjen dan daerah ditugaskan menyuraikan aliran trafik bagi memastikan tiada sebarang kesesakan luar biasa.

"Tindakan pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menerusi Op Covid-19 turut dijalankan oleh semua petugas JSPT di lapangan.

"Rondaan dan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:53 PM