Ikmalrudin Ishak.
Ikmalrudin Ishak.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 akan diadakan di Melaka pada Isnin depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan beberapa tarikh penting PRN itu.

"…ia termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

"Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut," katanya.

Pada 4 Oktober lalu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Keputusan itu sekali gus membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 4:10 PM