Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia bersetuju membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap untuk merawat pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, perolehan itu dibuat menerusi tandatangan surat akujanji (Letter of Undertaking) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini dengan Merck Sharp & Dohme bagi pembelian ubat antiviral Molnupiravir.

Katanya, keputusan terbabit dibuat sebagai persediaan Malaysia memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus Covid-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baharu sebagai 'senjata' untuk melawan Covid-19 selain penggunaan vaksin dan tindakan kesihatan awam yang lain.

"Kajian yang dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus selain turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti gamma, delta dan mu.

"Bagaimanapun ingin saya nyatakan di sini bahawa sekalipun ubat Molnupiravir ini berkesan, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi kerana fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk.

"Ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan. Ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti. Kita memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19, sekaligus memberikan impak yang lebih besar dalam usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan virus Covid-19," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM akan terus memantau perkembangan pembangunan ubat-ubatan berkaitan rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan mendapatkan rawatan terbaik kepada penduduk Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 1:28 PM