Ubat antiviral, Molnupiravir. FOTO Agensi
Ubat antiviral, Molnupiravir. FOTO Agensi
BERNAMA

London: Britain menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan pil rawatan Covid-19 yang boleh diambil di rumah, apabila Agensi Pengawalseliaan Ubat dan Produk Penjagaan Kesihatan Britain (MHRA) meluluskan rawatan itu pada Khamis.

Ubat antiviral, molnupiravir dibangunkan oleh Ridgeback Biotherapeutics dan Merck Sharp & Dohme, lapor Anadolu Agency (AA).

Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid berkata: "Hari ini adalah hari bersejarah bagi negara kita, kerana UK kini adalah negara pertama di dunia yang meluluskan antivirus yang boleh diambil di rumah untuk Covid-19.

"Ini menjadi berita baik buat mereka yang paling mudah terdedah dan imun rendah, yang tidak lama lagi akan mendapat rawatan ini.

"Kami sedang berusaha dengan pantas dengan kerjasama dengan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) untuk menggunakan molnupiravir kepada pesakit melalui kajian nasional secepat mungkin.

MHRA berkata dalam satu kenyataan bahawa molnupiravir, juga dikenali sebagai Lagevrio sebagai selamat dan berkesan untuk mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian pada orang yang mempunyai Covid-19 ringan hingga sederhana yang berisiko tinggi mendapat penyakit yang teruk.

Kenyataan itu berkata berdasarkan data percubaan klinikal, Lagevrio paling berkesan apabila diambil semasa peringkat awal jangkitan dan oleh itu MHRA mengesyorkan penggunaannya secepat mungkin iaitu dalam tempoh lima hari selepas gejala bermula.

"Molnupiravir telah dibenarkan untuk digunakan pada orang yang mempunyai Covid-19 ringan hingga sederhana dan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko untuk mendapat penyakit yang teruk.

"Faktor risiko tersebut termasuk obesiti, umur lebih tua (>60 tahun), diabetes mellitus, atau penyakit jantung," tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 11:37 AM