Molnupiravir dipercayai mampu mengurangkan kemasukan ke hospital sehingga 50 peratus. - FOTO Agensi
Molnupiravir dipercayai mampu mengurangkan kemasukan ke hospital sehingga 50 peratus. - FOTO Agensi
AFP

Washington: Gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Merck sudah mengemukakan permohonan penggunaan kecemasan bagi ubat anti-Covid-19, molnupiravir.

Awal bulan ini, ia mengumumkan keputusan ujian klinikal yang mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 50 peratus bagi pesakit Covid-19.

Ia berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan agensi di seluruh dunia untuk mengemukakan permohonan penggunaan kecemasan dan kebenaran pemasaran dalam tempoh beberapa bulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Merck, Robert Davis berkata, impak luar biasa pandemik ini memerlukan langkah yang segera.

"Inilah yang dilakukan pasukan kami dengan menghantar permohonan bagi penggunaan molnupiravir kepada FDA dalam tempoh 10 hari selepas menerima data," katanya.

Dalam ujian klinikal fasa akhir, Merck dan Ridgeback menilai data 770 pesakit di mana separuh daripadanya menerima pil untuk kegunaan lima hari, sementara bakinya menerima plasebo.

Pesakit yang menerima molnupiravir, 7.3 peratus dimasukkan ke hospital pada hari ke-29, berbanding 14.1 peratus dari kumpulan plasebo.

Pakar mengatakan bahawa pil berkenaan bukanlah penawar ajaib sebaliknya sebagai pelengkap vaksin, dan bukan menggantikannya.

Merck berkata, ia dijangka menghasilkan 10 juta set rawatan (lima pil untuk setiap rawatan) menjelang penghujung 2021 dan lebih banyak set akan dihasilkan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:44 PM