Oleh Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional Berhad (BSN) komited untuk bergerak maju dan terus relevan khususnya kepada generasi muda menerusi jenama yang mantap serta identiti BSN sebagai bank yang unik berbanding bank lain selain mampu menunaikan kehendak mereka sebagai pengguna sistem kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Adinan Maning berkata, dalam usaha untuk melaksanakan proses penjenamaan semula BSN, perancangan penyediaan dalam penambahbaikan dilakukan lebih awal terutamanya segmen operasi perbankan dan infrastruktur yang menjadi tunjang utama kepada BSN.

Beliau berkata, penjenamaan yang dilakukan itu juga adalah seiring dengan keperluan dan permintaan semasa industri serta pelanggan yang menjalankan transaksi perniagaan bersama BSN yang dilihat memainkan peranan sebagai tarikan untuk mereka menjadikan BSN sebagai bank pilihan.

“Kami juga mengambil berat kepada perkara seperti misi, visi dan nilai korporat kerana ia adalah pemangkin kepada transformasi dalaman, sekali gus menyemarak nilai istimewa kepada gerak kerja bank nasional ini.

“Dengan penjenamaan ini, kami percaya BSN kini bersedia sepenuhnya dan berada di kedudukan lebih baik untuk memberikan perkhidmatan perbankan menyeluruh yang berkualiti, sekali gus memperoleh keyakinan semua rakyat Malaysia,” katanya, di sini.

BSN baru-baru ini melakukan perubahan daripada segi logo dan warna korporat selain menjenamakan semula semua cawangannya agar kelihatan lebih segar serta mesra pengguna.

Adinan berkata, sebelum ini juga BSN turut pernah melakukan penjenamaan menerusi pelancaran perkhidmatan ejen bank (EB) pada 2012 sebagai usaha meningkatkan tahap kecekapan dan perkhidmatan sedia ada yang diperkenalkan.

“Perkhidmatan EB yang diperkenalkan kami ketika itu menjadikan BSN sebagai bank pertama di Malaysia yang menggunakan inisiatif sebegini, sekali gus ia turut meningkatkan kewujudan jenama bank ini,” katanya.

Sehingga kini, BSN mempunyai 7,000 kakitangan di seluruh negara dengan 872 mesin juruwang automatik (ATM), 372 mesin deposit wang tunai (CDM) dan lebih 6,000 Ejen Bank di seluruh negara. BSN hingga kini mempunyai 9.1 juta pelanggan.

BSN juga melancarkan Mesin Juruwang Maya (VTM) yang pertama bagi sektor perbankan tempatan yang mana pelanggan boleh membuat pelbagai urusan perbankan seperti pembukaan akaun dan kad debit, deposit tunai, pembayaran bil dan pinjaman serta simpanan Sijil Simpanan Premium (SSP) BSN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 3:47 AM