MOHD Imran (kanan) beramah mesra bersama penduduk di Kampung Pasir Panjang. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
MOHD Imran (kanan) beramah mesra bersama penduduk di Kampung Pasir Panjang. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Masalah ketiadaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Sungai Panjang, di sini, yang berlarutan hampir 10 tahun bakal berakhir apabila ia akan ditempatkan di kawasan itu tidak lama lagi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, mesin layan diri yang pertama itu bakal ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan pemasangan ditanggung sepenuhnya di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengumumkan kelulusan segera RM50,000 untuk menyiapkan prasarana bagi menempatkan mesin ATM itu.

"Prasarana tidak termasuk dalam pakej penyediaan mesin ATM oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). Kebetulan kita ada MRSM di sini, dan dikenal pasti bahawa ini adalah tempat dan lokasi paling selamat.

"Insya-Allah, selepas ini penduduk Sungai Panjang khususnya Parit 16 akan mendapat perkhidmatan mesin ATM yang lebih dekat dan memudahkan urusan seharian penduduk," katanya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, mesin ATM adalah keperluan mendesak bagi penduduk kerana mereka terpaksa memandu sejauh 20 kilometer untuk mengeluarkan wang tunai.

"Masyarakat di sini rata-ratanya akan pergi ke pekan Sungai Besar yang jaraknya lebih 15 km ke 20 km dari sini untuk mendapatkan perkhidmatan ATM.

"Dalam tempoh beberapa tahun lalu, kita telah memulakan inisiatif dengan kerjasama BSN yang meletakkan ejen-ejen mereka di kedai runcit. Namun kali ini, kita mendapat kerjasama baik dengan pihak MRSM," katanya.

Menurutnya, masalah kemudahan mesin ATM telah disuarakan lima hingga 10 tahun lalu dengan lima tahun pertama pengeluaran wang tunai melalui kedai runcit dan pengusaha sebagai ejen BSN.

Mohd Imran turut menjangkakan dengan wujudnya perkhidmatan ATM, taraf ekonomi di kawasan itu bakal melonjak kepada satu tahap yang lebih baik daripada sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 12:23 PM