LORI jenis tipper terbabit kemalangan dengan lima kenderaan awam di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 6 September. FOTO Ihsan pembaca
LORI jenis tipper terbabit kemalangan dengan lima kenderaan awam di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 6 September. FOTO Ihsan pembaca
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Lesen Pengendali syarikat CBSB Transport Sdn Bhd yang memegang lesen kenderaan lori jenis tipper terbabit kemalangan dengan lima kenderaan awam di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 6 September lalu digantung berkuat kuasa semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan media berkata, penggantungan itu berkuat kuasa selama tiga bulan atau sehingga syarikat memenuhi keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) sepenuhnya atau yang mana terkemudian.

Beliau berkata, keputusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu mengambil kira kepentingan awam dan berdasarkan laporan siasatan 'JPJ Inspection & safety Audit' (JISA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, Kementerian Pengangkutan memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan kejadian pada jam 2.40 petang 6 September itu.

"Tindakan ini diambil selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715) apabila syarikat gagal melaksanakan ICOP tanpa sebab yang munasabah iaitu satu pelanggaran serius terhadap syarat lesen serta membabitkan risiko keselamatan kepada pemandu, pengguna jalan raya dan juga orang awam.

"Kementerian Pengangkutan sememangnya sentiasa memandang serius isu berkaitan keselamatan kenderaan pengangkutan awam dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan berkaitan pematuhan permit dan lesen oleh pengendali.

"Semoga tindakan ini dapat memberi pengajaran kepada pengendali terbabit serta peringatan kepada keseluruhan industri pengangkutan awam dan perdagangan secara amnya," katanya.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, lori yang dipandu laju lelaki berusia 25 tahun berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua Perodua Myvi dan masing-masing Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL yang berhenti di lampu isyarat merah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, dilaporkan berkata siasatan awal mendapati lori itu dari Jalan Duta menghala ke Sentul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 4:57 PM