Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lori yang terbabit kemalangan di Gerik, Perak hingga mengorbankan seorang bayi hujung Oktober lalu didapati gagal dalam keputusan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya baru mendapat keputusan berkenaan dan akan menyerahkannya kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Kita sudah melakukan Audit JISA terhadap lori terbabit kemalangan itu dan keputusannya gagal.

Menteri (Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook) juga sudah tahu mengenai perkara ini dan mengarahkan permit lori digantung.

"Kita bekerjasama dengan APAD melaksanakan seperti arahan menteri dan penggantungan sementara permit syarikat dan tempohnya akan dimaklumkan oleh APAD.

"Mengenai penggantungan lesen memandu, pendakwaan akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mahkamah," katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Akademi JPJ Bersama Pihak Media di Akademi JPJ Malaysia Melaka di Tiang Dua, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan Anthony Loke supaya JPJ mengambil tindakan terhadap pemandu dan syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan terbabit di Gerik pada 29 Oktober lalu.

Hadir sama Pengarah Akademi JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Zailani berkata, siasatan pihaknya juga mendapati pemandu lori terbabit mempunyai 10 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya yang dikeluarkan JPJ dan PDRM.

"Semakan kita mendapati pemandu terbabit membayar saman dikenakan, namun mengulangi kesalahan.

"Kemalangan terbabit memberi impak signifikan kepada JPJ untuk lebih serius dalam menangani isu kenderaan komersial yang didapati langgar peraturan, misalnya membawa muatan berlebihan yang mungkin menyumbang kepada kemalangan," katanya.

Dalam perkembangan lain Zailani berkata, jumlah hasil dikutip JPJ setakat 11 Disember lalu meningkat 11.91 peratus atau RM4.6 bilion, sekali gus melepasi sasaran kutipan tahunan, RM4.12 bilion.

"Daripada jumlah itu, lima hasil tertinggi sehingga Oktober 2022 adalah Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak RM2.63 bilion, diikuti Lesen Memandu Malaysia (RM483 juta), JPJeBID (RM421 juta), Bayaran Pendaftaran Kenderaan (RM134 juta) dan bayaran menyelesaikan tanpa perbicaraan (RM119 juta).

"Keseluruhan kutipan ini diperoleh menerusi 66 cawangan JPJ dan 22 UTC di seluruh negara," katanya.

ZAILANI pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Akademi JPJ Bersama Pihak Media di Akademi JPJ Malaysia Melaka di Tiang Dua. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
ZAILANI pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Akademi JPJ Bersama Pihak Media di Akademi JPJ Malaysia Melaka di Tiang Dua. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 9:13 PM