Laporan portal berita Harian Metro
Laporan portal berita Harian Metro
Irwan Shafrizan Ismail


AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggantung lesen pengendali dan semua lesen kenderaan Syarikat CJ Global Travel and Tours Sdn Bhd selama tujuh hari bermula hari ini.

APAD dalam satu kenyataan berkata, ia susulan siasatan mendapati syarikat itu gagal mematuhi keperluan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP-Keselamatan).

Katanya, audit itu dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) 9 April lalu susulan kemalangan sebuah bas pekerja milik syarikat itu di Jalan KLIA, Sepang 7 April lalu yang mengorbankan 12 nyawa.

“Siasatan mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi keperluan ICOP-Keselamatan.

“Oleh itu, APAD menggantung lesen pengendali dan semua lesen kenderaan syarikat itu tujuh hari bermula hari ini dan sehingga syarikat mematuhi keperluan ICOP-Keselamatan sepenuhnya, yang mana terkemudian (penggantungan itu),” katanya.

Kenyataan itu berkata, di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, keselamatan penumpang adalah keutamaan terpenting.

“Semua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung standard tertinggi di dalam mengendalikan kenderaan mereka. “APAD tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan.

“APAD juga menegaskan pengendali yang gagal mematuhi keperluan ICOP-Keselamatan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan termasuk membatalkan lesen pengendali dan permit pengendali,” katanya.

Dalam kejadian 7 April lalu, 12 mangsa maut selepas bas dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dalam longkang kira-kira 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MASkargo di KLIA.

Kejadian 11.10 malam itu mengorbankan lima warga Bangladesh, dua warga Nepal, empat wanita warga Indonesia dan seorang warga tempatan yang juga pemandu bas pekerja berkenaan.

Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan ke MASkargo selepas mengambil 43 pekerja dari asrama mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan dan pekerja berkenaan sepatutnya masuk bekerja untuk syif 12 tengah malam.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Bas pekerja didakwa berlumba
  • Kedutaan Indonesia tuntut jenazah mangsa
  • Polis siasat dakwaan bas pekerja berlumba
  • Bas dihantar ke PUSPAKOM
  • Polis teliti rakaman CCTV
  • Mayat pemandu bas dituntut keluarga
  • 'Kalau ada salah laku, tarik lesen
  • 'MASkargo bantu urus penghantaran pulang jenazah
  • 'Mangsa dalam bas berterabur' [METROTV]
  • Bas terjunam: Kematian cecah 12 orang
  • Pemandu bas tiada rekod kesalahan lalu lintas
  • Kenapa bas ikut laluan berbeza?
  • Bas terbabit nahas sudah dialihkan
  • [UPDATE] Mangsa kakitangan Mutiara Kayamas
  • [UPDATE] Seorang lagi penumpang maut [METROTV]
  • 10 maut nahas bas pekerja
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:38 PM