LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pemandu lori yang merempuh lima kenderaan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur Ahad lalu, akan berhadapan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen sekiranya didapati bersalah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan siasatan audit Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan

Jalan 2010 (ICOP) terhadap insiden itu.

Menurutnya, audit ICOP adalah sebahagian daripada syarat-syarat lesen kenderaan perkhidmatan perdagangan dan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali adalah mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya pemandu terbabit didapati bersalah di mahkamah.

"MOT tidak akan berkompromi dan memandang serius insiden yang berlaku ini lebih-lebih lagi membabitkan isu keselamatan pengguna jalan raya serta ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di negara ini, "katanya tadi.

Media sebelum ini melaporkan sebuah lori merempuh lima kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat Jalan Ipoh.

Akibatnya semua kenderaan itu mengalami kerosakan teruk dan beberapa pemandu dilaporkan mengalami kecederaan.

Ka Siong berkata, siasatan awal dijalankan pihak polis mendapati pemandu lori itu positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

"Pemandu terbabit juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan".

"MOT ingin menegaskan semua pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memelihara keselamatan pengguna jalan raya lain dan diharapkan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa depan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 5:52 PM