LORI dipandu seorang lelaki positif dadah merempuh lima kenderaan lain. FOTO Ihsan Pembaca
LORI dipandu seorang lelaki positif dadah merempuh lima kenderaan lain. FOTO Ihsan Pembaca
Samadi Ahmad

Putrajaya: Pemandu lori yang merempuh lima kenderaan dalam kemalangan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, kelmarin, akan berhadapan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen sekiranya didapati bersalah.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan siasatan audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) ke atas kejadian itu.

Menurutnya, audit ICOP sebahagian daripada syarat lesen kenderaan perkhidmatan perdagangan dan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali tertakluk mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Katanya, tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya pemandu berkenaan didapati bersalah di mahkamah.

"Kementerian Pengangkutan tidak akan berkompromi dan memandang serius insiden yang berlaku ini, lebih-lebih lagi membabitkan isu keselamatan pengguna jalan raya serta ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di negara ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, media melaporkan sebuah lori yang terbabas merempuh lima kenderaan lain di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menghala ke Sentul dari Jalan Duta pada 2.40 petang.

Kemalangan itu berlaku ketika semua kenderaan berhenti di lampu isyarat Jalan Ipoh sebelum lori berkenaan merempuh dengan laju dari arah belakang.

Rempuhan menyebabkan kesemua kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk dan beberapa pemandu dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Ka Siong berkata, siasatan awal yang dijalankan polis melalui ujian saringan air kencing ke atas pemandu itu positif dadah methamphetamine dan amphetamine.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan pemandu berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM30,000 tiga dan tidak lebih daripada RM5,000.

"Pemandu terbabit juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

"Kementerian Pengangkutan ingin menegaskan semua pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memelihara keselamatan pengguna jalan rayalain dan diharapkan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa depan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 10:41 PM