BANTUAN makanan kepada rakyat Afghanistan disalurkan Muslim Care bantuan IHH Turki. FOTO Ihsan Muslim Care
BANTUAN makanan kepada rakyat Afghanistan disalurkan Muslim Care bantuan IHH Turki. FOTO Ihsan Muslim Care
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Sepang: Keazaman menggunung bagi membantu rakyat Afghanistan dibuktikan pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) melalui penghantaran kumpulan misi bantuan kemanusiaan pertama ke negara bergolak itu awal pagi tadi.

Misi membabitkan penyertaan seramai 13 peserta diketuai Presiden MCM, Zulkifli Wahijan, barisan Exco MCM, wakil Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Dr Ishak Ibrahim dan Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia Jamuliddin Elias.

Zulkifli yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang berkata, usaha dilakukan bagi membantu rakyat Afghanistan itu turut mendapat sokongan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Geng Talaqqi dan Yayasan Isra' Malaysia.

Beliau berkata, bantuan mendesak itu perlu disegerakan memandangkan berpuluh juta rakyat negara berkenaan kini berdepan dengan isu kebuluran selain musim sejuk yang mula melanda negara berkenaan.

"Minggu lalu MCM sudah menyalurkan bantuan awal berjumlah hampir RM50,000 bagi membeli bakul makanan untuk diagihkan kepada ribuan keluarga daif di negara berkenaan.

"Usaha ini turut mendapat bantuan NGO terkenal dari Turki, Humanitarian Relief Foundation (IHH) yang berkolaborasi bersama MCM," katanya.

ROMBONGAN Muslim Care Malaysia ke Afghanistan. FOTO Ihsan Muslim Care
ROMBONGAN Muslim Care Malaysia ke Afghanistan. FOTO Ihsan Muslim Care

Zulkifli berkata, selain bantuan mendesak makanan dan pakaian musim sejuk, pihaknya turut akan membina sebanyak 55 telaga yang berupaya membekalkan air bersih kepada penduduk negara berkenaan.

"Malah usaha turut dilakukan bagi membina masjid dan bangunan sekolah empat tingkat di negara berkenaan menggunakan dana disalurkan rakyat prihatin Malaysia.

"Sejak tabung serta kempen Care4Afghan dilancarkan bulan lalu, kami meletakkan sasaran kutipan dana sebanyak RM2 juta bagi disalurkan kepada saudara sesama Islam kita di negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata, hasil kutipan dana dikumpulkan setakat ini akan disalurkan sendiri pihaknya kepada rakyat Afghanistan sebaik kumpulan mereka tiba di negara berkenaan.

"Dalam masa sama kami akan menilai bentuk bantuan lain yang boleh disumbangkan bagi meringankan beban rakyat Afghanistan yang bakal berdepan suhu musim sejuk yang ekstrim," katanya.

Menurutnya, bantuan kemanusiaan untuk rakyat Afghanistan amat mendesak berikutan bantuan luar termasuk dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sukar disalurkan kepada rakyat negara itu.

"Keadaan kini menjadi tidak menentu sejak ibu negeri Afghanistan, Kabul, diambil alih Taliban pada 15 Ogos lalu diikuti pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara bergolak itu.

"Paling dibimbangi apabila saudara kita di sana bakal mengalami krisis kemanusiaan terburuk dunia berskala lebih besar daripada dihadapi Yaman atau Syria," katanya.

Sumbangan untuk rakyat Afghanistan boleh disalurkan secara atas talian melalui pautan https://toyyibpay.com/TABUNG-KEMANUSIAAN-AFGHANISTAN atau melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 6:26 PM