Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hampir separuh dari 33 juta rakyat Afghanistan di ambang krisis kebuluran.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, keadaan itu semakin kritikal sejak pergolakan politik melanda negara itu selain bencana kemarau berpanjangan.

Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila Bank Dunia menggantung penyaluran bantuan kewangan kepada Afghanistan selepas Taliban menguasai negara itu.

"Menyedari nasib malang dihadapi rakyat negara berkenaan, MCM, Yayasan Amal Malaysian, One Nation dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) berganding bahu mengumpul dana bagi membantu saudara seIslam di negara bergolak itu.

"Melalui kempen tabung kemanusiaan Afghanistan atau Care4Afgan, kami sedang berusaha mengumpul dana bagi menghantar bantuan kecemasan ke Afghanistan pada bulan Oktober ini," katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya meletakkan sasaran kutipan sebanyak RM1 juta bagi membeli keperluan asas dan makanan untuk disumbangkan kepada rakyat negara itu.

"Sehingga malam kelmarin, kami berjaya mengumpul dana sekitar RM350,000. Syukur kerana rakyat Malaysia masih menunjukkan sikap prihatin dan sudi menghulurkan bantuan.

"Selama 40 tahun Afghanistan menghadapi krisis peperangan yang panjang mengakibatkan rakyat negara itu terus hidup di bawah paras kemiskinan serius," katanya.

Zulkifli berkata, misi kemanusiaan kali ini memfokuskan bantuan berbentuk keperluan mendesak bagi membolehkan penduduk Afghanistan menghadapi musim sejuk yang akan tiba.

"Antaranya bantuan air bersih, pakaian, tempat perlindungan, bekalan makanan, keperluan kanak-kanak seperti susu formula, tepung gandum, lampin pakai buang dan selimut adalah sangat diperlukan," katanya.

ZULKIFLI berusaha keras bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan yang berdepan krisis kebuluran.
ZULKIFLI berusaha keras bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan yang berdepan krisis kebuluran.

Muslim Care Malaysia sebelum ini turut pernah membantu mangsa bencana dan perang di Syria, Indonesia, Pakistan, Iran, Iraq, Myanmar, Kemboja selain aktif membantu umat Islam Islam di Palestin sejak tahun 2009 .

Sumbangan untuk rakyat Afganistan boleh disalurkan secara atas talian melalui pautan https://toyyibpay.com/TABUNG-KEMANUSIAAN-AFGHANISTAN atau melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai turut boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail di talian 0169978323, Exco Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar ditalian 0134886447 atau Zuriati Ya'akob di talian 0192049434.

Orang ramai turut boleh mengikuti perkembangan berhubung usaha Tabung Kemanusiaan Afghanistan idilakukan ini melalui https://t.me/muslimcaremalaysiasociety.

caption

Pix 1: ZULKIFLI berusaha keras bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan yang berdepan krisis kebuluran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 12:55 AM