Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Empat individu termasuk suami isteri yang menyertai gelembung pelancongan ke Langkawi tidak dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah semalam, selepas dikesan positif Covid-19.

Suami isteri itu berusia 30 tahun, manakala dua lagi individu adalah lelaki 26 tahun dan wanita berumur 40-an berada di terminal terbabit pada 1.30 petang.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ujian saringan kendiri yang dilakukan menunjukkan keempat-empatnya positif Covid-19 dan mereka diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

"Mereka bukan daripada kumpulan sama (melancong bersama) dan petugas ada menghubungi hospital untuk mengetahui sama ada terdapat rakan lain atau ahli keluarga bersama mereka untuk ke Langkawi.

"Kita bimbang jika ada yang kontak rapat, jadi kita akan minta (maklumat) KKM untuk kita kesan mereka (kontak rapat)," katanya hari ini.

Kerajaan membenarkan rakyat lengkap vaksinasi untuk melancong di Pulau Langkawi menerusi gelembung pelancongan mulai 16 September lalu dengan beberapa syarat dan prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi termasuk melakukan ujian saringan kendiri.

Foto hiasan
Foto hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 8:28 AM