GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 40,458 orang disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sejak 16 September lalu hingga hari ini dan 149 kes positif Covid-19 dikesan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seperti sedia maklum, kerajaan memulakan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi bermula pada 16 September lalu.

Menurutnya, seiring dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan semakan ujian saringan Covid-19 dan juga ujian saringan Covid-19 (bagi pelancong yang belum menjalani ujian) sebelum mereka berlepas ke Pulau Langkawi di pintu masuk udara dan laut.

"Secara kumulatif dari 16 September sehingga jam 12 tengah hari ini , iaitu kira-kira dua minggu setelah pelaksanaan projek rintis ini, seramai 40,458 orang disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.

"Ini membabitkan sejumlah 34,038 orang yang disaring di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 36,842 orang menjalani ujian RTK-Ag dan daripada jumlah ini, sebanyak 149 kes positif Covid-19 dikesan dan 186 individu lagi adalah kontak rapat kepada 149 kes itu di mana mereka diasingkan serta diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO).

"Seramai 641 orang menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif manakala baki 2,975 orang kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing

"Kemudian pada 26 September lalu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan satu kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong ke Langkawi, iaitu seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari Nilai, Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata, dia bersama ibu dan ayahnya tiba di Langkawi melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

"Ibu dan ayah kanak-kanak berkenaan sudah menerima vaksinasi lengkap dan saringan RTK-Ag sebelum berlepas ke Langkawi juga disahkan negatif.

"Mereka juga bukan kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 di mana kes adalah tidak bergejala dan kesemua kontak rapat diberi HSO," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 8:12 PM