Hisham Suhaily. FOTO Arkib NSTP.
Hisham Suhaily. FOTO Arkib NSTP.
Hamzah Osman


Langkawi: Naib Ketua Wanita Umno Kedah, Hisham Suhaily Othman disahkan positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, sejak semalam.

Turut dilaporkan positif adalah Ketua Puteri Umno Langkawi, Ummi Kalsom Abdul Muthalib dan lima Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Langkawi.

Mereka bagaimanapun diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Ketika dihubungi, Hisham Suhaily yang juga Exco Wanita Umno Pusat dan Ketua Wanita Umno Langkawi berkata, beliau dimasukkan ke HSM pada 11.30 pagi.

"Mulanya, saya sakit tekak dan buat ujian air liur (kit kendiri RTK Antigen) selepas menjadi kontak rapat kepada beberapa rakan yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang daripada melancong dari pulau ini.

"Saya buat dua kali ujian itu dan semua keputusan adalah negatif, tetapi disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian RT-PCR di sebuah klinik swasta, Jumaat lalu," katanya.

Difahamkan, Hisham Suhaily dan pemimpin Umno berkenaan berjumpa beberapa rakan yang berkunjung ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan, minggu lalu.

Rakan itu disahkan positif Covid-19 apabila kembali ke tempat asal selepas tamat percutian.

"Saya mohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan sesiapa yang menjadi kontak rapat saya serta enam rakan sejak 18 September sehingga Sabtu lalu, diminta membuat ujian saringan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 12:09 PM