X
 DR SIM KUI HIAN
DR SIM KUI HIAN
Norsyazwani Nasri
am@hmetro.com.my


Kuching: Sarawak berharap suntikan dos penggalak Covid-19 dapat dimulakan dalam masa terdekat dengan keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, terutama pasukan perubatan sebelum meneruskannya kepada penerima lain.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, suntikan dos penggalak perlu diberikan kepada golongan itu secepat mungkin.

"Kita turut berharap Kerajaan Pusat memberi kepercayaan kepada Sarawak untuk memulakan Program Imunisasi Covid-19 Nasional sekali lagi.

"Suntikan ketiga amat perlu bagi mereka yang masih tidak mempunyai kekebalan yang mana badan mereka tidak mendapat tindak balas imun walaupun menyelesaikan dua dos vaksin Covid-19, selain keberkesanan vaksin semakin berkurang dalam jangka waktu tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan 9 September lalu dilaporkan berkata, kementerian tidak menolak bahawa kesan penurunan vaksin dari masa ke masa mungkin menjadi sebab angka Covid-19 tinggi Sarawak pada masa ini.

Sehubungan itu, kementerian sedang mengkaji keperluan melaksanakan suntikan penggalak untuk mengatasi keadaan itu.

Sim yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata, penyebaran kes yang berkaitan dengan varian Delta menyumbang peningkatan kes yang tinggi di Sarawak.

"Fokus pada era pasca vaksinasi tidak harus pada jumlah kes Covid-19 harian tetapi pada kadar kemasukan ke hospital, tempat tidur di unit rawatan rapi (ICU) dan kadar penggunaan ventilator serta kes kematian.

"Selain itu, kita memerlukan penjelasan lebih lanjut mengenai kes kematian, sama ada mereka didiagnosis menghidap Covid-19 sebelum atau selepas mereka meninggal dunia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 2:25 PM