Khairy Jamaluddin (kiri) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya hari ini. FOTO BERNAMA
Khairy Jamaluddin (kiri) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak akan menjadi negeri pertama memberi dos penggalak vaksin Covid-19 apabila program berkenaan dijadualkan bermula Oktober ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini pihaknya masih dalam proses penyediaan garis panduan klinikal untuk pelaksanaan program suntikan dos ketiga vaksin itu.

Antara yang sedang diteliti, katanya ialah jenis vaksin sama ada penerima akan diberi vaksin yang sama dengan dua dos terdahulu atau menggunakan vaksin jenis lain yang bersesuaian.

"Kita akan fokus kepada golongan yang berisiko yang berusia 60 tahun ke atas serta yang berkomorbid serius.

"Ini kerana golongan itu adalah majoriti yang mengalami gejala serius di hospital terutamanya yang memerlukan rawatan di wad unit rawatan rapi (ICU)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pengurusan Pandemik bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Petra Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Nor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, tumpuan pemberian suntikan dos penggalak kepada golongan berisiko tinggi itu selaras dengan amalan di negara lain termasuk di Amerika Syarikat (AS).

"Ini kerana kita tidak mahu menggunakan sumber (vaksin) yang kita ada untuk mereka yang tidak memerlukan," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya berusaha meningkatkan kapasiti kesihatan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil dengan berkesan jika berlaku peningkatan mendadak kes serius di Sarawak.

"Untuk itu kita akan membekalkan 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen yang akan dihantar dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Selasa ini.

"Kita juga sudah menambah katil ICU dengan yang ada sekarang iaitu 10 katil di Sibu, manakala 20 lagi akan kita tambah dan terpulang kepada kerajaan Sarawak untuk menentukan lokasi ia ditempatkan," katanya.

Mengenai imunisasi kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) yang jumlahnya dianggarkan mencecahkan antara dua juta hingga empat juta orang di negara ini, Khairy berkata, ia sudah dilaksanakan sebelum ini.

"Kita sebenarnya sudah pun melaksanakan program outreach di seluruh negara bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

"Ini dasar kita. Sesiapa sahaja yang datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk individu yang tidak memiliki dokumen tetap diberi vaksin dan sehingga kini program outreach itu masih berterusan," katanya tanpa mendedahkan jumlah PATI yang sudah menerima vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 2:10 PM