Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tempoh empat hari sehingga hujung minggu ini menjadi indikator kepada pihak berkuasa bagi menentukan sama ada perlu atau tidak membuka tempat tumpuan kepada orang awam sekiranya masih dalam keadaan tidak terkawal.

Ia susulan keadaan di beberapa lokasi sekitar negeri ini dilaporkan sesak dengan pengunjung pada minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sekiranya terdapat kebanjiran pengunjung seperti berlaku pada Sabtu dan Ahad lalu, pihaknya akan mendapatkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menutup kawasan itu.

"Saya percaya pada cuti umum hari ini sehingga hujung minggu, orang ramai akan keluar beriadah atau bercuti, justeru kita akan melakukan pemantauan dan rondaan bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kita akan menempatkan dan mengarahkan anggota merakamkan gambar sebagai bukti atau keperluan kepada agensi lain sekiranya lokasi itu perlu ditutup," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shuhaily bersama Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong melakukan tinjauan pematuhan SOP di pusat beli-belah di Persiaran Gurney; Pantai Shamrock dan Pantai Miami di Jalan Batu Feringghi, di sini.

Mohd Shuhaily berkata, tinjauan di lokasi berkenaan mendapati pematuhan SOP pengunjung memuaskan, keadaan terkawal serta tidak sesak.

"Pada masa ini, kita ambil pendekatan menasihati, namun jika jumlah jangkitan meningkat, kita akan ambil tindakan.

"Sudah dua tahun berlalu, nasihat demi nasihat sudah diberi kini terpulang kepada tanggungjawab orang awam pula," katanya.

MOHD Shuhaily (kiri) berbual dan memberi nasihat kepada pengunjung di Pantai Shamrock, Tanjung Bungah, Georgetown, hari ini. FOTO DANIAL SAAD
MOHD Shuhaily (kiri) berbual dan memberi nasihat kepada pengunjung di Pantai Shamrock, Tanjung Bungah, Georgetown, hari ini. FOTO DANIAL SAAD

Sementara itu, pengunjung, Khatijah Rahman, 45, dari Bayan Lepas, berkata, dia lega kawasan di sekitar Pantai Miami hari ini agak lengang dan kurang pengunjung.

Pada mulanya, dia dan suami, Abdul Manaf Ahmad, 45, bercadang mahu ke lokasi lain sahaja sekiranya sesak.

"Saya sangka cuti umum begini akan ramai orang, mujurlah tidak sesak dan dapat bawa anak perempuan kami berusia dua tahun mandi di pantai selepas sekian lama tidak ke sini.

"Mungkin orang ramai pun takut hendak keluar memandangkan kes meningkat selain bimbang berlaku kejadian sesak seperti yang tular di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:10 PM