MOHD Shuhaily ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong.
MOHD Shuhaily ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Dua lelaki warga tempatan yang aktif melakukan samun di kedai serbaneka ditahan polis dalam satu operasi di sekitar Kepala Batas, daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini, baru-baru ini.

Kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan selepas polis melakukan risikan dan maklumat berhubung kes samun di kedai serbaneka Taman Desa Murni Sungai Dua, Butterworth, pada 25 Disember lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, terdahulu dalam kejadian itu, pihaknya menerima aduan pada jam 5.22 pagi daripada pekerja di kedai serbaneka berkenaan yang mendakwa disamun dua lelaki bersenjatakan parang.

Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 dan membabitkan nilai kerugian sebanyak RM500.

"Susulan itu, polis melancarkan operasi dan berjaya menahan kedua-dua suspek pada jam 6 petang pada hari yang sama.

"Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes samun kedai serbaneka di beberapa lokasi sekitar SPU, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Dua suspek itu direman di Lokap Sentral IPD SPU sehingga esok dan didapati mereka aktif melakukan jenayah samun sejak awal bulan lalu.

"Dengan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak tiga kes samun dan satu kes curi motosikal di daerah ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu di daerah Timur Laut, Mohd Shuhaily berkata, lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dengan sembilan rekod lampau berkait jenayah dan dadah, ditahan kerana disyaki melakukan kegiatan ragut terhadap seorang wanita di Jalan Haji Rafaie, Tanjung Bungah, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, wanita berkenaan mengalami kerugian sebanyak RM350 dan turut mengalami cedera di lutut kiri akibat terjatuh.

"Suspek ditahan di sekitar Georgetown dan ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Lelaki itu aktif melakukan samun sejak Mac tahun lalu dan kini direman selama tujuh hari sehingga 16 Januari ini dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan sebanyak lima kes samun di daerah Timur Laut dan satu kes curi motosikal di daerah Barat Daya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 4:20 PM