Danial Saad


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang mengerahkan pasukan penyelamat pantai di menara tinjau sekitar Batu Feringghi, Georgetown untuk memantau pergerakan orang awam supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan pelancongan itu.

Ini berikutan, orang ramai dilihat mula mengunjungi kawasan pantai khususnya Batu Feringghi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu.

Pegawai APM Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani, berkata pasukan penyelamat pantai sebelum itu bertugas menjaga keselamatan pengunjung dan memberi bantuan kecemasan awal sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di kawasan terbabit.

"Menjaga keselamatan dan memberi bantuan kecemasan awal adalah tugas harian dilakukan pasukan penyelamat pantai APM.

"Bagaimanapun, memandangkan kerajaan menguatkuasakan PKPP bermakna kami perlu memantau pergerakan pengunjung supaya mematuhi SOP ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasukan penyelamat itu beroperasi di empat pantai tumpuan iaitu menara tinjau di Pantai Miami, Pantai Belacan, Pantai Bayu Senja dan Pantai Golden Sand.

ANGGOTA pasukan penyelamat pantai APM memberi nasihat dan penerangan kepada pengunjung di Pantai Miami supaya mematuhi SOP ketika berkunjung di pantai sekitar Batu Feringghi, Georgetown. FOTO DANIAL SAAD
ANGGOTA pasukan penyelamat pantai APM memberi nasihat dan penerangan kepada pengunjung di Pantai Miami supaya mematuhi SOP ketika berkunjung di pantai sekitar Batu Feringghi, Georgetown. FOTO DANIAL SAAD

Menurutnya, anggota akan memantau SOP dan penjarakan sosial terhadap pengunjung supaya mereka menjaga jarak dan tidak berkumpul terlalu ramai yang boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

"Jika anggota dapati pengunjung tidak mengikut SOP ditetapkan, kita mengambil pendekatan menegur serta memberi nasihat supaya mematuhi saranan kerajaan.

"Jika teguran dan nasihat tidak dipedulikan pengunjung, kami akan menghubungi pihak keselamatan untuk tindakan selanjutnya.

"Buat masa ini, kunjungan orang ramai ke pantai masih lagi berkurangan tetapi dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 11:20 AM