Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang mengingatkan orang ramai kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan negeri ini masih berada dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia susulan tinjauan polis pada hujung minggu lalu di beberapa kawasan tumpuan dilihat sedikit sesak dengan kehadiran pengunjung.

Beliau berkata, sekiranya berlaku perlanggaran SOP, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk menutup premis atau kawasan terbabit.

"Kita akan terus menjalankan pemantauan di lokasi tumpuan dan menasihati orang ramai bagi mematuhi SOP manakala tanggungjawab pengunjung ialah membatalkan niat bagi menjalankan aktiviti itu, jika terlalu sesak.

"Jika mereka masih lagi berdegil atau berada dalam kapasiti ramai, kita akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya tutup premis atau kawasan itu jika perlu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tinjauan polis di lokasi tumpuan, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa lokasi sedikit sesak seperti di pesisir pantai Batu Feringghi dan taman rekreasi Empangan Mengkuang.

ORANG ramai beriadah bersama keluarga di Pantai Robina, Butterworth pada Ahad lalu. FOTO DANIAL SAAD
ORANG ramai beriadah bersama keluarga di Pantai Robina, Butterworth pada Ahad lalu. FOTO DANIAL SAAD

Katanya, pergerakan orang ramai di negeri ini sejak 7 Julai lalu agak memuaskan, namun menunjukkan peningkatan drastik pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Kes positif Covid-19 di negeri ini masih mencatatkan empat digit dan walaupun banyak sektor yang sudah dibuka, kita masih perlu patuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:39 PM