GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menggesa pihak berwajib menyiasat dakwaan kononnya peningkatan kos dedak dan anak ayam menyebabkan kenaikan melambung harga ayam di pasaran sekarang ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, hasil tinjauan PPIK terhadap peniaga, pemborong, pembekal dan penternak mendapati alasan berkenaan dilihat seakan satu muslihat pemain industri ayam bagi menaikkan harga.

"Kerajaan tidak seharusnya melayan alasan kononnya kenaikan harga ayam itu disebabkan peningkatan kos dedak dan anak ayam sedangkan perbezaan harga di pasaran sangat tidak seimbang.

"Amat ketara sekali perbezaan harga antara pasar raya besar, pasar raya, pasar basah awam sehinggalah peruncit di tepi jalan maka tidak munasabah jika alasan itu menyebabkan harga ayam naik melambung dan tidak seimbang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata, pihaknya berharap kerajaan tidak mengambil masa lama menyelesaikan masalah berbangkit itu kerana ia menjadi isu pengguna di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu segera turun padang bagi mendapatkan maklumat sebenar berhubung isu berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menetapkan harga ayam maksimum sebagaimana kawalan harga pada musim perayaan.

"Sekiranya dakwaan ini (peningkatan kos dedak dan anak ayam) benar, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kerana ia membebankan pengguna terutama di musim pandemik ini.

"KPDNHEP sewajarnya mengadakan perbincangan langsung dengan pembekal dan pengeluar termasuk di peringkat ladang untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik agar isu sedemikian tidak membebankan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:55 PM