Pegawai KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan di kilang Ayam Bismi di Simpang Empat dalam Ops Catut 8.0. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pegawai KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan di kilang Ayam Bismi di Simpang Empat dalam Ops Catut 8.0. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Peniaga memberi alasan kenaikan harga dedak dan kos lain menyebabkan harga ayam di negeri ini meningkat sejak seminggu lalu.

Tinjauan di tujuh gerai menjual ayam di Pasar Besar Alor Setar, hari ini mendapati kebanyakan peniaga ayam meletakkan harga antara RM7.90 hingga RM8.80 setiap satu kilogram.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati harga ayam mencecah hampir RM9 sekilogram.

"Saya berharap tiada peniaga cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam ketika musim perayaan ini, dan harganya dapat dikawal daripada terus meningkat," katanya.

Pengarah Urusan Ayam Bismi Empayar Sdn Bhd, Mazlina Kamarudin berkata, pihaknya mengakui berlaku kenaikan harga ayam disebabkan kos dedak meningkat dari RM85 ke RM100 bagi satu beg seberat 50 kilogram.

Katanya, selain itu kekurangan tenaga kerja membabitkan warga asing juga antara masalah yang dihadapi kerana ramai dihantar pulang berikutan pandemik Covid-19 ini.

"Permintaan terhadap ayam juga meningkat, namun kita menyediakan bekalan sebanyak 160,000 ekor ayam untuk stok bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

"Kita jangka harga ayam tidak akan naik lagi kerana ayam antara barangan yang mendapat sambutan setiap kali musim perayaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Rae Morn Verak berkata, pihaknya mengadakan Ops Catut 8.0 dengan memeriksa pemborong ayam di daerah Sungai Petani, Kulim dan Baling.

"Pihak penternak dan pemborong diberi masa untuk mengemukakan maklumat harga dan kos jualan ayam antara dua hari bagi Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) manakala Notis Bertulis (NB) lima hari.

"Peniaga perlu melengkapkan data kos secara terperinci dengan menyertakan resit, invois jualan, invois belian dan penyata jualan pada tahun semasa serta tahun sebelumnya bermula 2018 hingga tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 5:37 PM