Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan beberapa pengeluar ayam terbesar bagi menyelesaikan isu kenaikan harga ayam.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, perbincangan itu diadakan untuk mengenal pasti punca kenaikan harga sekali gus mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, ketika ini pemantauan dilakukan pegawai penguat kuasa mendapati terdapat pasar raya besar menjual ayam pada harga antara RM6.90 hingga RM8.49 setiap kilogram (kg), manakala pasar raya pula antara RM6.90 hingga RM8.89 satu kg

"Kenaikkn harga ayam sehingga RM10 sekilogram hanya berlaku di pasar basah berikutan permintaan tinggi daripada pengguna.

"Ini kerana pengguna menganggap ayam dijual di pasar basah lebih segar dan berkualiti jika dibandingkan dengan yang dijual di pasar raya besar atau pasar raya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas kenyataan Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng mendakwa kenaikan harga ayam disebabkan peningkatan kos untuk dedak dan anak ayam, Rosol mempersoalkan mengapa berlaku perbezaan harga ayam antara yang dijual di pasar basah dan pasar raya.

Katanya, perbezaan harga juga berlaku di kalangan peniaga yang menjual ayam di bahu jalan kerana mampu menjualnya pada harga lebih murah jika dibandingkan di pasar basah.

"KPDNHEP akan mengadakan perbincangan dengan pembekal dan pengeluar termasuk di peringkat ladang untuk mencari kaedah penyelesaian.

"Kita juga meminta pengguna supaya beralih mendapatkan bekalan ayam di pasar raya besar dan di pasar raya kerana kualiti serta kesegaran tetap sama," katanya.

Sementara itu, tinjauan dilakukan mendapati ada antara peniaga masih menjual ayam pada harga tinggi antara RM8.10 dan RM9.00 sen sekilogram.

Harga borong pula dijual antara RM7.99 hingga RM8.10 sekilogram dan dijangka meningkat sehingga RM10 sekilogram sepanjang minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 12:26 PM