Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my

Ipoh: Harga dedak yang meningkat secara mendadak dipercayai menjadi antara punca kenaikan harga ayam dalam pasaran di Perak ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, siasatan mendapati harga dedak meningkat kepada RM1,400 berbanding RM800 bagi satu tan sebelum ini.

Menurutnya, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan peningkatan harga ayam di sebuah pasar basah di Gopeng di sini, baru-baru ini.

"Isu harga ayam ini kita sudah terima beberapa hari yang lalu dan peningkatan ini bukan sahaja berlaku di Perak tetapi di seluruh negara.

"Di Perak, pihak KPDNHEP turut mengadakan pemeriksaan dan memang kita mendapati ada beberapa tempat yang menjual dengan harga yang agak tinggi.

"Contohnya, pasar basah di Gopeng harga ayam meningkat kepada RM11.50 sekilogram dan ada juga pasar raya mereka menjual RM5.90 sekilogram," katanya selepas membuat pemantauan harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19 di sebuah pusat membeli-belah di sini, hari ini.

Tinjauan kenaikan harga ayam bersih di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. FOTO ROHANIS SHUKRI
Tinjauan kenaikan harga ayam bersih di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. FOTO ROHANIS SHUKRI

Hadir sama Pengarah KPDNHEP Perak Saifullizan Kamarul Zaman.

Abdul Yunus berkata, antara faktor lain kenaikan harga adalah dari segi pihak ladang yang turut mengalami kekurangan pekerja asing.

"Jadi, mereka (pihak ladang) terpaksa mengambil pekerja tempatan dengan kadar upah yang lebih tinggi, oleh itu pihak ladang mengalami peningkatan dari segi kos," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini turut berlaku peningkatan harga bekalan anak ayam dan terdapat pengusaha yang mengurangkan pembelian anak ayam.

Justeru, beliau berkata, ia turut menyumbang kepada faktor berlakunya pengurangan bekalan ayam di pasaran dan sekali gus mengakibatkan harga ayam turut meningkat.

Beliau turut mengulas mengenai peniaga yang berkemungkinan mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga ayam terbabit.

"Ya, pihak KPDNHEP sedang menyiasat perkara berkenaan (ambil kesempatan), perkara ini (kenaikan harga ayam) mungkin tidak akan berlarutan dalam jangka masa yang panjang, pihak KPDNHEP memang sentiasa memantau dan mencari jalan bagaimana untuk menstabilkan harga ayam di pasar," katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, sebanyak 125 premis bagi penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 diperiksa sejak 5 September lalu sehingga semalam.

"Tiada tindakan dan tiada aduan diterima sejak penetapan harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 yang berkuat kuasa bermula 5 September lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:45 PM