WAN Ahmad Fauzi memotong ayam di gerainya di Pasar Besar Alor Setar.FOTO Noorazura Abdul Rahman
WAN Ahmad Fauzi memotong ayam di gerainya di Pasar Besar Alor Setar.FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kenaikan harga ayam sejak dua minggu lalu menyebabkan peniaga turut terkesan malah mendakwa untung diterima juga minimum demi menjaga pelanggan.

Peniaga ayam Pasar Besar Alor Setar, Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail, 50, berkata, harga ayam naik sehingga RM9.50 sekilogram berbanding RM7.90 dua minggu lalu.

Katanya, kenaikan harga ayam berlaku selepas kerajaan mengumumkan kebanyakan sektor dibenarkan kembali operasi.

"Biarpun mampu menjual kira-kira 200 ekor ayam sehari berbanding 100 ekor sehari dua minggu lalu, ia masih tidak berbaloi kerana saya hanya untung tipis (minimum), jika jual terlalu mahal saya bimbang pelanggan tak berani beli.

"Daripada 10 pelanggan yang datang, enam merungut harga ayam mahal, saya tak mampu buat apa kerana saya sendiri pun perlu membayar upah tiga pekerja," katanya ditemui di pasar besar berkenaan.

Wan Ahmad berkata, dia difahamkan, kenaikan harga ayam berlaku di peringkat ladang apabila bekalan ayam kurang selepas permintaan ayam meningkat secara mendadak.

"Saya juga difahamkan terdapat ayam di ladang yang sakit dan mati sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan di ladang berkenaan.

"Dahulu hendak cari bekalan ayam mudah, ladang menawarkan harga murah kerana susah hendak jual. Kini, pembekal tak cukup bekalan dan terpaksa tanya kepada pembekal lain. Ia turut menyebabkan harga jualan naik," katanya yang berniaga ayam di pasar besar itu sejak 23 tahun lalu.

Sementara itu, penternak dan peniaga ayam, Mazlina Kamarudin, 54, berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) perlu segera menangani isu kenaikan kos dedak dan anak ayam di pasaran terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini yang mempengaruhi kos ternakan serta harga ayam di pasaran.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) berkata, kenaikan harga dedak daripada RM80 setiap pek 50 kilogram (kg) kepada RM128 ketika ini sangat membebankan penternak.

"Kos utama ayam adalah dedak. Apabila harga dedak naik, secara tidak langsung harga ayam juga naik. Kepada penternak, dedak adalah isu yang besar dan perlu diatasi segera.

"Bukan semata-mata tentang kenaikan harga ayam itu sahaja yang dipolemik dan dilihat seolah-olah penternak yang 'bersalah'. Penternak tertekan kerana menanggung kos yang tinggi ketika PKP dan terus terang, ramai penternak 'bungkus' kerana masalah ini sudah lama berlaku," katanya.

Mengulas lanjut, Mazlina berkata, kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini tidak boleh diletak di bahu penternak sahaja malah perlu dikaji dengan mendalam oleh kementerian sekali gus mengambil langkah proaktif menanganinya.

"Bukan ingin salahkan sesiapa tetapi perkara ini perlu ditangani segera demi menstabilkan harga ayam di pasaran. Syarikat pengimport dedak juga tidak boleh dipersalahkan kerana mereka turut terbeban dengan kenaikan harga dedak di pasaran dunia kerana pandemik.

"Dedak seperti jagung dan soya kini menjadi komoditi penting dalam sektor ternakan. Ia menjadi rebutan negara besar dunia dan dedak yang kita peroleh pula kurang berkualiti seterusnya menjejaskan tumbesar ayam," katanya.

Menurutnya, sepanjang Jun hingga Ogos lalu, ia tempoh kritikal bagi tumbesaran anak ayam dan kualiti dedak ini menyebabkan banyak ayam sakit malah mati.

"Kos ubatan tinggi, begitu juga dengan makanan tambahan untuk ayam bagi memastikan tumbesarannya stabil. Perkara ini juga mempengaruhi kenaikan kos ternakan ayam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:41 PM