Saifulisham Baharun (kiri)) menyampaikan cenderahati kepada Faridah di Kampung Pelangai. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Saifulisham Baharun (kiri)) menyampaikan cenderahati kepada Faridah di Kampung Pelangai. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: "Syukur, peluh dan keringat kami ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih diingati dan dihargai," ujar Ketua Cawangan Persatuan Veteran ATM (PVATM) Cawangan Juaseh, Pegawai Waran (B) Faridah Ab Latif.

Faridah menzahirkan kata-kata itu selepas Pejabat PVATM Cawangan Juaseh dibaik pulih menerusi Program Jiwa Murni kelolaan Kementerian Pertahanan.

Dia berkata, pihaknya sebelum ini menyewa sebuah premis di Batu Kikir, di sini, sebelum berpindah ke lokasi sekarang iaitu bangunan lama yang terbiar sejak tahun 2006.

"Keadaan sebelum ini agak usang dan daif, sekali gus membataskan kami untuk melakukan aktiviti. Namun melalui kerja baik pulih menerusi Program Jiwa Murni bermula 24 Ogos lalu, pejabat ini kembali ceria dan berwajah baru.

"Saya mewakili kira-kira 300 veteran ATM di bawah naungan PVATM Cawangan Juaseh mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaacob yang memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini," katanya.

Faridah ditemui ketika tinjauan Panglima 1 Briged Pertama Infantri Kem Rasah, Brigedier Jeneral Mohd Saifulisham Baharun di pejabat berkenaan di Juaseh, di sini, tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juaseh, Datuk Ismail Lasim.

Wanita berusia 56 tahun itu berkata, baik pulih pejabat berkenaan membabitkan kerja membaiki pagar, mengecat semula bangunan, menurap jalan dan membaiki serta menukar papan tanda yang tertera nama lama 'Persatuan Bekas Tentera Malaysia'.

"Saya sangat bersyukur kerana jasa kami masih diingat dan pejabat dengan imej baru ini memberikan semangat baru kepada ahli lebih-lebih lagi dalam suasana sambutan Bulan Kemerdekaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Saifulisham berkata, Kementerian Pertahanan menyediakan dana sebanyak RM10,000 bagi membaiki pejabat berkenaan dan turut mendapat sumbangan daripada Perdana Menteri berjumlah RM20,000.

"Jika terdapat veteran yang mengalami kesempitan, boleh maklumkan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan kami akan cuba membantu mengikut keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:39 PM