Khairulmizan Yahya

Kuantan: Kerajaan digesa memulangkan semula peruntukan rawatan perubatan untuk veteran tentera berpencen kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV).

Ahli Parlimen Ketereh Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berkata, sebelum ini JHEV menguruskan peruntukan rawatan perubatan untuk bekas tentera berpencen dan tidak berpencen.

Bagaimanapun, katanya, selepas 2017, peruntukkan rawatan perubatan veteran berpencen diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan JHEV hanya menguruskan peruntukan untuk veteran tidak berpencen sahaja.

"Jika peruntukkan itu dipulangkan semula kepada JHEV, ia membolehkan proses kelulusan untuk ahli yang memohon lebih cepat berbanding melalui KKM," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Paya Besar di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khlir meminta Kementerian Pertahanan melihat soal kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk penyelarasan pencen, mempertimbangkan peluang kerjaya kepada golongan itu serta menyemak semula kadar elaun hilang upaya.

"Apa salahnya pesara ATM diletakkan dalam anak syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) atau agensi kerajaan lain selepas bersara kerana mereka mempunyai kemahiran.

"Mengenai elaun hilang upaya pula, wajar kerajaan membuat semakan semula kadar elaun terbabit kerana kali terakhir ia dibuat pada 2000 membabitkan 272 pesara," katanya.

hli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor  pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Paya Besar di dewan serba guna Perkampungan Sungai Isap Jaya, Kuantan. Foto Khairulmizan Yahya
hli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Paya Besar di dewan serba guna Perkampungan Sungai Isap Jaya, Kuantan. Foto Khairulmizan Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 1:16 PM