SHARUDDIN (tengah) ketika sidang akhbar. FOTO Fathil Asri
SHARUDDIN (tengah) ketika sidang akhbar. FOTO Fathil Asri
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) sudah mengarahkan pihak negeri seterusnya maklumkan kepada 173,868 ahlinya di 246 cawangan seluruh negara mengenai larangan menyertai perhimpunan dianjurkan pihak tertentu pada 6 Jun ini.

Presidennya, Datuk Shaharuddin Omar berkata, PVATM dan mana-mana jawatankuasa yang dilantik PVATM tidak terbabit dalam pengendalian atau penganjuran sama ada disebut Perhimpunan Aman 6622, demonstrasi atau yang difahamkan terkini disebut Reunion Veteran 6622 itu.

Beliau juga menafikan perhimpunan itu akan memberikan impak negatif kepada PVATM sebab persatuan itu tidak terbabit dalam rancangan berkenaan.

"Hukuman (sekiranya ahli tetap menyertai himpunan itu) adalah terpulang kepada lembaga. Bukan saja-saja Presiden yang akan menghukum. Bukan begitu. Laporan akan sampai ke ibu pejabat kepada negeri dan pusat sehingga kemudian dibawa kepada exco seterusnya dibawa ke majlis tertinggi.

"Banyak prosesnya. Nak hukum orang bukan senang. Sebab itu kita tak pernah mengatakan seseorang itu salah selagi tidak disabitkan," katanya dalam temubual bersama media di Wisma Pahlawan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PVATM, Datuk Sazali Ismail dan Naib Presiden III PVATM, Datuk Shamsuddin Abbas.

Shaharuddin berkata, mereka yang mempunyai kelayakan atau pun ahli PVATM tidak dibenarkan menyertai himpunan kerana ia melanggar perlembagaan PVATM dan peraturan pentadbiran persatuan itu.

"Saya nak jelaskan ianya (himpunan) itu bertentangan. Tak apalah jika ada pihak yang mahu mencabar keputusan itu di mahkamah, terpulanglah. Tetapi saya yakin mereka yang mendaftarkan diri sebagai ahli PVATM sudah menandatangani satu borang pengakuan berhasrat tanpa paksaan menyertai ahli persatuan PVATM dan mereka tahu di situ ada perlembagaan dan di situ ada peraturan yang perlu diikuti sebagai ahli.

"Semua pihak memperjuangkan objektif yang sama tetapi dengan cara yang berbeza. Kami berpandangan bahawa perhimpunan itu tidak menggambarkan suara keseluruhan veteran kerana saya percaya majoriti warga veteran memilih pendekatan secara berhemah.

"Dimaklumkan, satu Task Force atau Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan PVATM pada Mac 2022 akan meneruskan tugas perundingan dengan Kementerian Pertahanan seperti yang dirancang," katanya.

Menurutnya, buat masa sekarang PVATM memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara Sambutan Ulangtahun 100 Tahun PVATM seperti dirancang yang sudah bermula 20 Mei lalu hingga penghujung tahun ini.

Sebelum ini media melaporkan, dianggarkan 5,000 veteran ATM akan mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada 6 Jun depan.

Sementara itu, Shaharuddin menggesa bekas tentera yang tidak diktiraf sebagai veteran supaya berdaftar dengan persatuan untuk kebajikan dan bantuan sewajarnya.

Katanya, mereka yang tidak diiktiraf sebagai veteran adalah bekas anggota yang diberhentikan akibat masalah disiplin.

Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Rekod dan Pencen Markas Tentera Malaysia, terdapat 10,281 bekas tentera dikategorikan tidak diiktiraf sebagai veteran ATM sehingga April tahun ini.

"Mereka yang tidak diktiraf ini tidak layak menerima kemudahan yang dinikmati veteran lain dan kita akan cuba bantu mengikut kemampuan persatuan seperti khairat kematian dan bantuan lain yang sepatutnya," katanya.

Shahruddin mengakui ada menerima keahlian daripada bekas anggota daripada kategori itu dan bantuan disalurkan mengikut kemampuan persatuan yang diperolehi daripada sumbangan orang ramai.

Katanya, yuran RM60 untuk sekali keahlian adalah berpatutan dan ini dapat membantu kebajikan semua ahli termasuk pencen, tidak menerima pencen atau diberhentikan.

PVATM ditubuhkan pada 20 Mei 1922 adalah NGO terbesar dan tertua daripada 122 persatuan veteran di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 2:30 PM