Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Dakwaan pesara tentera hidup dalam keadaan daif disifatkan agak subjektif kerana Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) sentiasa mengenalpasti ahlinya dari semasa ke semasa.

Timbalan Presiden PVATM, Mejar (B) Datuk Sazali Ismail berkata, dakwaan itu berkemungkinan besar disebabkan orang ramai keliru antara kategori veteran ATM dan bekas tentera.

Menurutnya, PVATM sentiasa menyalurkan bantuan kepada 160,000 ahlinya yang berdaftar manakala untuk bekas tentera pula bantuan yang diberikan bersifat ihsan.

"Veteran ATM ada dua skim iaitu berpencen dan tidak berpencen manakala mereka yang diberhentikan serta dikenakan tindakan tatatertib pula dipanggil bekas tentera.

"Jika veteran ATM dan berdaftar di bawah PVATM, mereka sentiasa menerima manfaat, dan sebaliknya berlaku kepada bekas tentera... itu yang mungkin orang ramai keliru.

"Bagaimanapun, kami tetap membantu bekas tentera setakat termampu jika menerima maklumat namun bantuannya adalah terhad dan bimbang bertentangan dengan akta," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PVATM Negeri Kelantan kali ke-52 di sini.

Persidangan yang dirasmikan oleh Ketua Peruncitan dan Pembiayaan Bahagian Pantai Timur Wilayah RHB Bank Berhad, Mohamad Ludin Puteh itu turut dihadiri Yang Dipertua (YDP) Persatuan Veteran ATM Kelantan, Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Dalam persidangan itu, turut dianugerahkan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) kepada lima veteran ATM.

Sazali berkata, PVATM yang ditubuhkan sejak 1922 mempunyai 140 cawangan di seluruh negara, dan kira-kira 70,000 lagi belum mendaftar.

"Selain PVATM, ada banyak pertubuhan lain yang berkaitan atau di bawah unit lain bagi membantu veteran dan mereka mungkin mendaftar dengan pertubuhan itu.

"Semua pertubuhan sama sahaja yang penting veteran perlu berdaftar," katanya smbil menambah ada veteran yang tidak mendaftar kerana mempunyai kehidupan stabil.

Sazali Ismail, pada Maljis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PVATM negeri Kelantan Kali-52 di sini , hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sazali Ismail, pada Maljis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PVATM negeri Kelantan Kali-52 di sini , hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 1:46 PM