ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan tugas membaik pulih rumah Fatimah. FOTO Ahmad Hasbi
ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan tugas membaik pulih rumah Fatimah. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: "Lebih enam tahun lalu, setiap malam kami lima beranak tidur dalam keadaan tidak tenang kerana keadaan bumbung yang bocor dan dinding rumah reput," luah Fatimah Tayon, 56, dari Kampung Sentosa, di sini.

Fatimah seorang daripada individu yang terpilih dalam Program Jiwa Murni di bawah Kementerian Pertahanan bagi membantu golongan memerlukan membaiki kediaman, tempat ibadat serta membaik pulih jalan raya.

Fatimah berkata, mereka sekeluarga tidak mampu untuk membaik pulih rumah yang berusia kira-kira 40 tahun itu kerana suaminya hanya bekerja sebagai pembantu kedai selain perlu menjaga seorang adik orang kurang upaya (OKU).

"Saya tinggal bersama suami, dua anak perempuan berusia 23 dan 24 tahun dan seorang adik OKU berusia 52 tahun. Sejak 2014 saya memohon daripada pelbagai pihak untuk membaik pulih rumah ini, namun tidak berjaya.

"Pada Jun lalu, wakil Umno Bahagian Seremban berkunjung ke rumah dan memaklumkan rumah kami akan dibaiki oleh Kementerian Pertahanan. Saya sangat bersyukur kerana akhirnya rumah ini dapat dibaiki," katanya ketika ditemui.

Menceritakan keadaan rumahnya sebelum ini, Fatimah berkata, bumbung di beberapa bilik bocor menyebabkan siling rosak, selain dinding reput kerana dimakan anai-anai.

"Kami sekeluarga tidur dalam keadaan berjaga lebih-lebih lagi ketika hujan lebat atau ribut. Namun, kami bernasib baik kerana tidak pernah ditimpa kejadian yang tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Panglima 1 Briged Pertama Infantri Kem Rasah, Brigedier Jeneral Mohd Saifulisham Baharun berkata, sebanyak tiga surau, tujuh rumah orang awam dan satu premis persatuan bekas tentera di seluruh Negeri Sembilan terpilih dalam program berkenaan.

"Program ini bermula pada 24 September lalu yang mana anggota kami membantu membaik pulih rumah dan surau yang terpilih. Dana yang digunakan adalah daripada Kementerian Pertahanan sendiri iaitu sebanyak RM10,000 bagi setiap premis.

"Kami jangkakan projek baik pulih ini akan siap dalam masa dua ke tiga minggu. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pemimpin masyarakat yang memberikan kerjasama dalam mengenal pasti rumah atau surau yang layak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 10:44 AM