PENIAGA menulis harga ayam runcit RM9.50 sekilogram di kedainya di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah hari ini. FOTO Hassan Omar
PENIAGA menulis harga ayam runcit RM9.50 sekilogram di kedainya di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah hari ini. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kenaikan harga ayam sejak pertengahan bulan lalu bukan setakat meresahkan pengguna, malah peniaga ayam dan makanan turut risau kerana membebankan kos mereka.

Pengguna, S Marimuthu, 70, berkata harga ayam ketika ini RM9.50 sekilogram dan bagi seekor ayam seberat 2.5 kilogram (kg), dia terpaksa membelanjakan RM23.75 berbanding RM14.50 ketika dijual pada harga RM5.80 sekilogram sebelum 17 Ogos lalu.

"Sebelum ini saya membelanjakan antara RM50 hingga RM60 seminggu bagi mendapatkan empat ayam untuk keluarga, tetapi sekarang saya terpaksa membelanjakan RM152.

"Saya harap kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan harga terus naik dan membebankan pengguna," katanya ketika ditemui di kedai ayam Shamsul Bokhari Abdul Ghani di Kampung Solok Duku, di sini, hari ini.

Peniaga makanan, Zulkifli Johar, 60, berkata sebelum ini, dia membelanjakan antara RM14 hingga RM15 bagi seekor ayam sebelum memotong 16 bahagian untuk dijual pada harga RM2.50 setiap satu.

Bagaimanapun, katanya, sekarang dia membelanjakan antara RM22 hingga RM24 bagi seekor ayam dan setakat ini, masih belum menaikkan harga jualan makanannya kerana ingin menjaga pelanggan.

Sementara itu, peniaga ayam, Shamsul Bokhari, 56, berkata, sebelum ini dia menjual ayam RM5.80 sekilogram, tetapi sejak 17 Ogos terpaksa menjual RM6 sekilogram akibat kenaikan harga dari ladang.

Menurutnya, penternak menaikkan harga antara 20 hingga 30 sen sekilogram mulai 17 Ogos lalu menyebabkan dia turut menaikkan harga runcit ayam.

"Saya tidak menaikkan harga sesuka hati, sebaliknya menjual ayam berdasarkan harga dibekalkan penternak dan jika esok penternak menurunkan harga, saya akan menurunkannya.

"Kebanyakan pelanggan tidak perasan ketika harga ayam naik daripada RM5.80 kepada RM6 sekilogram kerana ia disifatkan masih rendah, tetapi apabila harga mencecah RM7 sekilogram, mereka mula mempersoalkan harga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 3:07 PM