MOHD Zulkifli menunjukkan harga ayam segar pada lelongan di gerainya di Kampung Kubang Parit. FOTO Baharom Bakar
MOHD Zulkifli menunjukkan harga ayam segar pada lelongan di gerainya di Kampung Kubang Parit. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


BERSIMPATI dengan nasib orang ramai yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemborong menawarkan harga RM10 bagi tiga kilogram ayam segar, hari ini.

Hasil lelongan itu, Mohd Zulkifli Embong, 52, dari Kampung Kubang Parit, Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu berjaya menjual sebanyak 15,000 ayam segar dalam tempoh dua jam.

Menurutnya, lelongan ayam segar berkenaan akan diteruskan sehingga Khamis ini selepas menerima sambutan baik.

Katanya, bekalan ayam berkenaan diperoleh daripada penternak di Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bharu.

“Selain dijual secara runcit, ia turut mendapat tempahan daripada peniaga di beberapa pasar utama termasuk di Kuala Berang, Setiu, Dungun dan Marang serta di sekitar Kuala Terengganu.

“Walaupun hasil lelongan ayam segar kurang menguntungkan, tetapi saya lakukan usaha ini atas dasar keprihatinan dan bersimpati dengan nasib orang ramai yang terjejas.

“Kami menggunakan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’ dan saya tidak terima tempahan melalui telefon bagi memastikan orang ramai tidak pulang kehampaan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, dia mendapat idea menjual ayam segar pada harga murah selepas dipersetujui penternak yang bersimpati dengan nasib orang ramai yang terkesan berikutan tidak dapat bekerja sepanjang PKP.

Katanya, pada masa sama dia mengakui ada antara peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam berikutan masyarakat sedang membuat persiapan menyambut Ramadan.

Tinjauan dilakukan mendapati harga ayam dijual di beberapa pasar utama adalah antara RM5.80 dan RM7.50 bagi setiap kilogram.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 5:09 PM