GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Hanya 40 peratus penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dibenarkan untuk kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian secara bersemuka.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, seramai 2,725 penuntut akan belajar secara bersemuka di tiga kampus iaitu Kampus Kota (1,041), Kampus Bachok (747) dan Kampus Jeli (937).

Beliau berkata, walaupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan kehadiran 60 peratus iaitu 6,078 orang daripada 10,130 penuntut, pihak universiti perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kalau tidak Covid-19 (kes rendah), kita boleh terima lebih 6,000 penuntut iaitu 60 peratus, namun pihak universiti hanya membenarkan 40 peratus sahaja hadir ke kampus kerana tertakluk kepada kapasiti asrama.

"Keutamaan kita adalah enam kategori penuntut iaitu lengkap dua dos vaksinasi dan kebenaran masuk akan ditentukan pihak fakulti.

"Selain itu, penuntut yang memerlukan latihan praktikal, makmal, klinikal, studio, bengkel dan peralatan khas serta yang tiada akses Internet.

"Mereka yang sedia ada di kampus turut dibenarkan meneruskan pengajian bersemuka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, UMK turut memberi keutamaan kepada penuntut dalam kategori orang kurang upaya (OKU), pelajar antarabangsa dan yang akan menduduki peperiksaan seperti badan profesional.

Menurutnya, kehadiran penuntut itu dijangka pada Oktober ini, namun ia tertakluk kepada pekeliling dan arahan daripada KPT, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta universiti.

"Pihak universiti akan melaksanakan pembelajaran secara hibrid dan mempunyai pelan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran - Dalam Talian (PdP-DT) Fasa Keempat untuk semua kursus tidak memerlukan bersemuka.

"Bagi pelajar baharu sesi akademik Oktober 2021/2022, mereka dijangka membuat pendaftaran secara dalam talian pada 2 Oktober depan, manakala kelas akan bermula pada 10 Oktober.

"Penuntut boleh menghubungi pihak pengurusan UMK untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum kembali ke kampus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:24 PM