Siti Nor Hidayatidayu Razali


PENUNTUT Institut pengajian tinggi (IPT) atau universiti yang menyertai pesta arak bulan depan boleh dikenakan tindakan oleh pihak universiti masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tindakan itu bergantung kepada IPT atau universiti sekiranya mendapati penuntut mereka terbabit melanggar arahan universiti.

Katanya, pihak IPT dan universiti tidak perlu merujuk kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana mereka diberi kuasa sepenuhnya menerusi Naib Canselor universiti masing-masing.

"Saya minta semua penuntut supaya tidak menyertai pesta arak berkenaan sekiranya acara itu berlangsung.

"Ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd, di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

UMK diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed dan QSR Brands diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamed Azahari Kamil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:30 PM