Universiti Kebangsaan Malaysia.
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi semua kemasukan penuntut prasiswazah dan pascasiswazah baharu serta semasa bagi semester satu sesi 2020/2021.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor mengeluarkan arahan penangguhan itu menerusi pekeliling diedarkan hari ini, susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Pekeliling itu menyatakan antara sebab arahan itu dikeluarkan kerana berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, terdapat 260 kes baharu Covid-19 dilaporkan termasuk 13 kes di Selangor dan 13 kes di Kuala Lumpur.

"Berikutan peningkatan kes positif Covid-19 dan selaras dengan kenyataan media daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertarikh 2 Oktober 2020, pihak pengurusan universiti memutuskan pendaftaran kemasukan semua pelajar Prasiswazah dan Pascasiswazah UKM (Baharu/Semasa) bagi Semester I, Sesi 2020/2021 secara fizikal/bersemuka ditangguhkan," katanya menerusi petikan pekeliling berkenaan.

Berikutan itu, pendaftaran penuntut akan dilaksanakan secara dalam talian dan penuntut yang sudah berada di kampus dibenarkan untuk terus kekal berada di kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 9:57 PM