UTeM.
UTeM.
Amir Mamat


Melaka: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyambut baik kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad yang akan melaksanakan kemasukan penuntut ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof Dr Ghazali Omar berkata, selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pihaknya sudah menggariskan beberapa panduan dan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula bulan depan.

Beliau yang menjalankan tugas Naib Canselor UTeM, berkata PdP di UTeM akan dilaksanakan menerusi kaedah hibrid termasuk secara dalam talian atau secara bersemuka bersesuaian dengan program akademik diikuti penuntut terbabit.

"Penuntut dikategorikan berkeperluan akan diberi keutamaan seperti disenarai pendek pihak fakulti sahaja yang dibenarkan mendaftar penginapan di kolej kediaman.

"Penuntut berkeperluan dan tinggal di luar kampus pula boleh mengikuti PdP secara hibrid, dalam talian atau bersemuka mengikut kesesuaian kursus diambil.

"Bagi penuntut tidak kembali ke kampus pula mereka masih perlu mengikuti PdP secara dalam talian mengikut kesesuaian kursus diambil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noraini memaklumkan KPT akan melaksanakan kemasukan penuntut ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.

Kemasukan penuntut lengkap divaksin ke institusi pengajian tinggi (IPT) ini membabitkan semua kategori penuntut dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 9:15 PM