GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Norsyazwani Nasri

Kuching: Seorang lelaki kerugian RM70,000 selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam yang mendakwa syarikat miliknya mempunyai tunggakan cukai perlu dibayar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 30-an menerima panggilan telefon daripada seorang pemanggil yang tidak dikenali menggunakan nombor telefon tempatan memperkenalkan dirinya kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, pemanggil memaklumkan bahawa syarikat mangsa di Kedah mempunyai tunggakan cukai belum dibayar berjumlah lebih RM17,000.

"Pada awalnya mangsa menafikan mempunyai syarikat di Kedah, namun perbualan telefon mangsa kemudian disambungkan ke satu nombor lain dan bercakap dengan seorang lelaki mendakwa dirinya polis.

"Mangsa dimaklumkan bahawa syarikat di Kedah ada terbabit dalam penggubahan wang haram dan

mangsa diminta memberikan semua data peribadi, nama dan kata laluan online banking serta nombor akaun pengadu bagi tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerana percaya dengan dakwaan itu, mangsa memberikan butir peribadi dan butir perbankannya kepada pemanggil.

"Selepas itu mangsa menerima beberapa nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC), sekali lagi mangsa menuruti segala arahan pemanggil dan memberikan semua nombor TAC berkenaan.

"Mangsa kemudian membuat semakan akaun secara dalam talian dan menyedari wang RM50,000 di dalam akaun Hong Leong Bank miliknya dipindahkan ke akaun Ambank atas nama individu warganegara tempatan dan wang RM20,000 dari akaun Public Bank mangsa dipindahkan ke akaun Hong Leong Bank atas nama individu lain juga warga tempatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan mendorong supaya harta diserahkan, jika dituduh dan didapati bersalah boleh di hukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:40 PM