Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menimbulkan hasutan dan menggugat ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, berdasarkan situasi semasa politik negara, pihaknya memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara terkawal.

"Orang ramai diminta tidak gusar dan membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat serta meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

"PDRM juga sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa jua medium yang boleh menimbulkan hasutan dan menggugat ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah Menteri mengumumkan peletakan jawatan dalam Kabinet.

Muhyiddin membuat pengumuman itu selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara, berhubung kedudukannya sebagai ketua kerajaan.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Sementara itu, Acryl berkata, orang ramai diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian sebagai usaha bersama membendung penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 4:42 PM