Raja Noraina Raja Rahim

POLIS memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan berita palsu mengenai keadaan politik negara ketika ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap individu yang sengaja menimbulkan kekecohan dan menggugat ketenteraman negara.

Beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, sebentar tadi, bagi menyampaikan taklimat mengenai keadaan keselamatan semasa.

“Saya menyampaikan taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai keadaan ketenteraman awam dan keselamatan.

“ Proses demokrasi sedang berjalan dengan baik. Saya minta semua bersabar termasuk pemimpin parti politik, penyokong dan orang ramai,” katanya ketika ditemui di luar pintu utama Istana Negara di sini, hari ini.

ABDUL Hamid (tengah) ketika sidang media di perkarangan Istana Negara. FOTO ASWADI ALIAS.
ABDUL Hamid (tengah) ketika sidang media di perkarangan Istana Negara. FOTO ASWADI ALIAS.

Abdul Hamid berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang ancaman atau isu yang boleh menyebabkan keadaan huru-hara dan meminta orang ramai menjalani kegiatan harian seperti biasa.

Bagaimanapun, katanya, polis sentiasa memantau keadaan keselamatan bagi memastikan ketenteraman negara terjamin.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 7:33 PM