Mazlan Mansor (kiri) bakal dilantik jawatan dalam kerajaan. FOTO ASWADI ALIAS
Mazlan Mansor (kiri) bakal dilantik jawatan dalam kerajaan. FOTO ASWADI ALIAS
Raja Noraina Raja Rahim


TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor bakal menyandang jawatan dalam kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia masih menunggu keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau sudah ditawarkan jawatan tertentu dalam kerajaan. Bagaimanapun, kita masih menunggu keputusan Perdana Menteri.

"Ia satu pengiktirafan baharu dalam jawatan DIG (Timbalan Ketua Polis Negara). Insya-Allah dia akan dapat sesuatu (jawatan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu menyaksikan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.

Acryl Sani memangku jawatan berkenaan menggantikan Mazlan yang akan bersara, esok.

Beliau berpengalaman luas dalam tugas kepolisan dan pernah menjadi Pengarah di beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Abdul Hamid berkata, Acryl Sani dilantik memangku jawatan itu berikutan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Ada masalah teknikal dan kita menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong. Hanya selepas itu (mendapat perkenan) saja, saya tidak boleh mendahului Istana.

"Kerajaan sudah membawa perakuan (jawatan Timbalan Ketua Polis Negara) kepada Istana untuk mendapat perkenan. Insya-Allah minggu ini," katanya.

Katanya, dua jawatan utama yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong iaitu Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 2:14 PM