TAKIYUDDIN. FOTO Arkib NSTP
TAKIYUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa mempersenda Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Polis ada menerima laporan terhadap menteri terbabit dan siasatan sedang dijalankan.

"Sekiranya diperlukan, individu-individu yang berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap kenyataan Takiyuddin yang didakwa mempersenda Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Takiyuddin ketika Bicara Harakah bertajuk 'Proklamasi Darurat: Berjaya Atau Sebaliknya' yang disiarkan secara maya pada Rabu lalu berkata, pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong itu tidak memperincikan bila ia perlu diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:11 PM